
Antara
manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah aktiviti sukan tersebut
dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah.Selain itu, dengan
melibatkan diri dalam aktiviti sukan, mereka dapat mengelakkan gejala
negatif daripada mempengaruhi mereka. Hal ini demikian kerana,
kebanyakan murid yang terlibat dalam aktiviti yang kurang sihat
selalunya dikaitkan dengan tindakan mereka yang suka membuang masa
dengan sia-sia tanpa melakukan sesuatu aktiviti yang bermanfaat kepada
mereka.
Dasar
ini membolehkan murid yang menceburkan diri secara serius
dalam bidang sukan itu, dapat
mengharumkan nama sekolah dan negara. Mereka dapat menyumbangkan bakat
dan kemahiran mereka untuk mewakili sekolah dalam acara-acara tertentu
dalam bidang sukan ini kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Sebagai contohnya, mereka boleh menjadi pemain bola sepak, hoki,
badminton, squash, dan sebagainya. Dengan cara itu, mereka dapat
menunjukkan bakat mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai
kemenangan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara.
Manfaat
lain program ini dapat mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan
murid sekolah. Seterusnya, murid-murid yang sihat ini menjadikan mereka
cerdas dalam pelajaran. Perkara ini akan turut menyuburkan budaya suka
bersukan untuk kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Dengan badan yang
sihat, murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya
mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Hal ini demikian kerana, otak yang cerdas itu ada pada badan yang sihat.
Seterusnya,
dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan murid dalam sukan. Hal
ini demikian kerana, setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri
dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu,
perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang tidak berpeluang
atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan
yang diminatinya. Jadi, pihak sekolah perlu membuat perancangan
sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran
yang sedia ada dan mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan dengan
sukan.
Melalui
dasar ini, usaha kerajaan untuk memupuk semangat kesukanan dan
perpaduan kaum akan menjadi lebih mudah. Dengan melibatkan diri dalam
sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan mempelajari dan
menghayati semangat kesukaan semasa dalam permainan. Selain itu,
murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang
kaum. Seterusnya, perkara ini akan membantu kerajaan untuk meningkatkan
perpaduan kaum di negara ini.
Jelaslah
di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi
baharu dalam sistem pendidikan yang banyak manfaatnya. Oleh itu, ibu
bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha
murni kerajaan ini. Sekiranya usaha ini tidak digerakkan dengan betul
dan sempurna, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan
tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama dalam hal ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap lebih banyak ahli sukan
yang bertaraf dunia akan dilahirkan pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment